Am Gema Di Timur Jauh

Album ini dirakam di Studio Ronggeng dan Booty Studio, Kuala Lumpur, diikuti proses mastering di Lion Studio Pte Ltd, Singapura, dengan khidmat M. Nasir sebagai penerbit, dibantu oleh Search, serta Johari Teh sebagai penerbit eksekutif. Ketika merakam album ini, Nasir Daud kembali ke pangkuan Search sebagai pemain gitar bes, bersama Amy sebagai penyanyi, Noordin Taib sebagai pemain gitar elektrik dan akustik, Hamzah Taib sebagai pemain gitar elektrik, dan Yazid Ahmad sebagai pemain dram, diiringi pemuzik undangan iaitu pemain papan nada Firdaus ("Jeritan Rindu", "Cintaku Hilang Bisanya" dan "Hello Kawan") dan Zul Mahat ("Bersalah Atau Tidak", "Andai Ku Miliki Semalam", "Laila Namamu Teratas"); pemain perkusi Wan ("Hello Kawan!"); dan penyanyi latar Arab dan Jay Jay.

Bersempena keluaran album ini, Search mengadakan "Konsert Gema di Timur Jauh" di Stadium Shah Alam, Selangor pada 9 Jun 1995, diikuti "Konsert Gema Di Timur Jauh Live Unplugged" di Life Centre, Kuala Lumpur pada 18 Oktober. Dari konsert tersebut, terhasilnya album live pertama Search, iaitu "Unplugged" Gema di Timur Jauh, yang berbeza sekali intisari lagunya dengan album studio yang sama judulnya ini.